Friday, May 23, 2014

Contoh Jurnal Refleksi Pemuliharaan Alam Sekitar di Taman Botani Kepong




Jurnal Refleksi

Pemuliharaan Alam Sekitar di Taman Botani Kepong

Pang Yong Eng, Choo Wen Chun,
Kevin Brendan Kung, DG Roziekah Binti Ussin,
Anita A/P Voodiayakumar,
Nur Fatin Binti Mohamad Farid,
Vesvanathan A/L Jeevaji Ganaesan


1.0. PENDAHULUAN

Jurnal refleksi ini ditulis bertujuan melaporkan setiap langkah kerja yang dilakukan dalam usaha menjayakan kajian Pembangunan Diri. Tempat kajian yang telah dipilih oleh kumpulan kami ialah Taman Botani Kepong.

Dalam jurnal ini kami akan mengemukakan beberapa refleksi yang telah berlaku dalam usaha menyiapkan kajian ini. Selain itu, kami juga menyatakan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika melaksanakan kajian tersebut. Kajian yang dibuat ini amat kompleks maka banyak langkah diperlukan untuk menyempurnakannya. Tambahan pula, berlakunya peristiwa-peristiwa penting yang urutannya haruslah dikenal pasti. Kami sekumpulan berpendapat bahawa peristiwa dan urutan peristiwa tersebut adalah penting kerana tanpanya, kajian ini tidak akan dapat disempurnakan.

Kajian ini juga dilakukan dengan kerjasama semua ahli kumpulan dan juga dengan bantuan beberapa pegawai Taman Botani Kepong yang merupakan pakar mengenai alam sekitar. Terutamanya perkara yang berkaitan dengan Taman Botani Kepong. Setelah itu, kami juga akan menyatakan pengalaman pembelajaran yang diperolehi  dalam proses membuat kajian. Proses membuat kajian ini merupakan pengalaman kali pertama kami semasa di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam perkara sebegini, iaitu berkaitan dengan alam sekitar. Sebelum ini, pengalaman terakhir adalah dalam kajian tentang alam sekitar semasa di Tingkatan 5. Sudah tentu, terdapatnya banyak perbezaan institusi pengajian hutan tropika jika dibandingkan pada masa itu dengan kini, terutamanya hasil daripada usaha pembangunan, pemeliharaan dan pemuliharaan.

Walaupun kami telah mempelajari subjek Geografi yang merangkumi pengetahuan  hutan tropika di bangku sekolah, namun kami sudah ditinggalkannya lebih daripada 4 tahun lalu. Pengetahuan kami sudah tentu terbatas serta banyak perkara yang telah kami lupakan. Tambahan pula, kami sebagai pelajar jurusan undang-undang, tidak menyentuh langsung isu pemeliharaan alam sekitar dalam proses pembelajaran kami ataupun dalam sukatan pelajaran kami maka pengetahuan ini hanyalah terbatas kepada bacaan am. Oleh itu, pengalaman yang diperoleh dalam melaksanakan kajian ini sangat baru, asing dan penting kepada kami semua.


Seterusnya kami juga menyatakan kelemahan dan kekuatan yang terdapat dalam kumpulan kami semasa menjalankan tugasan ini. Kami menganggap tugasan ini sebagai satu cabaran kerana kajian ini amat unik dan asing kepada kami sebagai pelajar jurusan undang-undang. Walaupun kami sekumpulan sudah tahu satu sama lain selama beberapa bulan, beberapa kelemahan dan kekuatan ahli kumpulan telah dikenal pasti melalui projek ini. Kami telah membahagikan kelemahan dan kekuatan kepada dua perenggan berasingan yang kami akan menganalisa secara terperinci.

Akhir sekali, kami akan memberikan langkah-langkah dan cadangan untuk memperbaiki dan membuat penambahbaikan terhadap kajian ini. Walaupun kami bukannya pakar berkaitan dengan isu alam sekitar mahupun mempunyai ilmu yang mendalam tentang hutan simpan atau taman botani, namun kami tetap mahu  memainkan peranan sebagai ahli masyarakat yang prihatin dan berkongsi pendapat, langkah-langkah dan cadangan penambahbaikan terhadap hutan simpan dan taman botani yang terdapat di Malaysia.


2.0  PERISTIWA-PERISTIWA SEPANJANG KAJIAN

Peristiwa Sebelum Melaksanakan Kerja Lapangan

Setelah selesai memilih tajuk kajian kami atas nasihat yang diberikan oleh pensyarah Pembangunan Diri iaitu Puan Maharam Mamat, kumpulan kami telah mengadakan satu perbincangan ringkas untuk membincangkan cara-cara melakukan kajian yang diberikan ketika kuliah. Perbincangan ringkas ini telah diadakan pada hari tersebut juga iaitu pada 19 September 2013. Perbincangan diadakan dengan kehadiran semua ahli kumpulan tanpa sebarang pengecualian. Pada mulanya, kami merancang untuk mengadakan perbincangan ini di luar dewan kuliah sahaja. Namun, beberapa anggota kumpulan kami berpendapat ia adalah lebih mudah dan selesa sekiranya diadakan perbincangan ini di perpustakaan sahaja. Tambahan pula, kesemua ahli kumpulan selalu singgah di perpustakaan sehingga waktu senja.

Perbincangan kali pertama setakat diadakan secara basa-basi sahaja. Perbincangan dilakukan secara kasual dengan masing-masing mengutarakan pendapat dan pengalaman membuat kajian. Kesemua ahli kumpulan menyatakan pernah membuat kajian untuk subjek Sejarah dan Geografi ketika belajar di sekolah menengah sekurang-kurangnya dua kali semasa di bangku sekolah. Kami juga membincangkan institusi pengajian hutan tropika yang terdapat di Malaysia serta keunikannya. Pendek kata, pada perbincangan pertama ini, kami hanya mengutarakan pendapat dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman masing-masing mengenai Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia sahaja. Pada akhirnya, perbincangan ini berakhir dengan setiap ahli kumpulan ditugaskan untuk mencari hutan simpan atau taman botani yang boleh dipilih untuk dijadikan tempat kajian.

Perbincangan seterusnya diadakan  seminggu selepas hari itu iaitu pada 26 September 2013. Perbincangan tersebut dijalankan di perpustakaan Tun Seri Lanang. Dalam perbincangan ini, setiap seorang daripada kami telah memberikan cadangan tempat kajian. Antara tempat yang dicadangkan adalah Taman Botani Melaka dan Taman Botani Kepong. Setiap ahli kumpulan memberikan kelebihan-kelebihan tempat tersebut serta diikuti sebab-sebab mengapa tempat tersebut patut dipilih sebagai tempat untuk menjalankan kajian ini.

Setelah menimbangkan pro dan kontra kedua-dua pilihan ini secara masak-masak, kami sebulat suara memilih Taman Botani Kepong kerana lokasi yang strategik. Dalam perbincangan ini kami juga mengagihkan tugasan-tugasan kepada setiap ahli kumpulan untuk memastikan kerjasama diperolehi daripada setiap ahli kumpulan. Ekoran itu, pembahagian tugasan ini juga memastikan kajian ini berjalan lancar tanpa masalah yang serius. Tugasan juga dibahagikan secara adil dan saksama. Setiap ahli kumpulan kami juga diberikan tarikh akhir untuk menyiapkan kerja masing-masing bagi memastikan langkah seterusnya untuk menyiapkan projek ini dapat diaturkan.

Dalam usaha untuk menjayakan kajian ini, pelbagai peristiwa-peristiwa telah dilalui oleh setiap daripada ahli kumpulan kami. Hal ini kerana terdapat beberapa isu yang timbul semasa menyiapkan kajian ini. Antaranya adalah kami perlu berbincang untuk memastikan fokus penyiasatan kami adalah tepat dengan tajuk yang dikehendaki. Kami juga perlu memastikan setiap ahli kumpulan diagihkan kerja secara adil supaya tidak berlakunya pertelingkahan antara anggota kumpulan kerana kami prihatin bahawa setiap ahli kumpulan mempunyai banyak perkara yang perlu dijunjung sebagai seorang mahasiswa.

Setelah itu, timbul beberapa masalah yang dihadapi ketika merancang perlaksanaan kajian. Antara masalahnya adalah terdapat ahli kumpulan yang tidak dapat hadir sesi perbincangan kerana masalah peribadi. Selain itu, maklumat yang diperlukan juga sukar untuk diperolehi kerana tiada data yang kukuh tentang populariti tanaman-tanaman Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia yang merupakan skop kajian kumpulan kami. Kami juga menghadapi kekangan masa kerana semester menjalankan kajian ini adalah semester pertama. Hal ini bermakna kami masih berada dalam proses menyesuaikan diri dengan alam universiti. Sehubungan dengan itu, projek ini merupakan projek yang besar maka projek ini akan mengambil masa yang panjang serta memerlukan usaha dan komitmen daripada semua ahli kumpulan.

Selepas itu,kami menghadapi kesukaran untuk menetapkan masa dan tarikh untuk melakukan kajian di Taman Botani Kepong kerana ramai ahli kumpulan yang pulang ke kampung masing-masing ketika cuti semester. Ketua kumpulan kami menyarankan agar kajian dijalankan pada 11 November 2013 dari pukul 1 hingga 6 petang. Semua ahli kumpulan bersetuju dengan cadangan ketua kumpulan memandangkan tidak mempunyai masa lain yang semua ahli kumpulan dapat menghadiri kerja lapangan tersebut. Kami menyewa sebuah kereta daripada seorang rakan kami dan kos sewa serta kos minyak ini ditanggung oleh setiap anggota kumpulan bersama.


Perlaksanaan Kerja Lapangan

Kami bertolak ke Taman Botani Kepong pada pukul 12 petang dari Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia. Kami tiba pada pukul 1.30 petang. Perjalanan mengambil masa yang panjang kerana berlakunya kesesakan lalu lintas. Justeru, kami juga kurang pasti jalan ke tempat kajian tersebut. Selain itu, petunjuk ke Taman Botani Kepong amat mengelirukan maka banyak masa telah dibazirkan untuk mencari destinase kami. Kami terpaksa meminta bantuan residen kawasan tersebut supaya kami dapat mencari taman botani tersebut.

Setelah kami tiba, kami terus ke pejabat pentadbiran Taman Botani Kepong untuk mendapatkan pertolongan seorang pegawai yang mengiringi kami semasa perlaksanaan projek ini. Kami bernasib baik kerana pegawai yang mengiringi kami merupakan seorang pakar alam sekitar dan semula jadi. Tambahan pula, beliau seorang peramah serta penyabar maka beliau menjawab semua soalan yang kami tujukan kepada beliau dan beliau juga sanggup mengiringi kami selama 3 jam. Beliau juga sanggup mengiringi kami mengunjungi seluruh tempat di Taman Botani Kepong termasuklah air terjun, taman buluh, taman botani, dan lain-lain lagi. Pada peringkat akhir sesi pelancongan kami, kami meminta agar beliau setuju mengambil gambar bersama kami sabagai kenangan.

Pada pukul 5, lawatan kami di Taman Botani Kepong telah berakhir. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai tersebut kerana memberi bantuan, tunjuk ajar serta kerjasama yang tidak terhingga-hingga kepada kami. Selepas itu, kami berbual sambil menikmati keindahan Taman Botani Kepong di pondok yang terletak di luar pejabat pentadbiran. Pada pukul 6,kami pulang ke Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada hari seterusnya, kami membuat persiapan untuk membentang kajian kami pada 21 November 2013 dengan menggunakan ‘power point’. Selain itu, kami juga membahagikan tugas masing-masing supaya kerja kami lebih sistematik dan efektif.


Selepas Perlaksanaan Kerja Lapang

Seperti mana yang telah kami sangkakan, projek yang telah kami laksanakan merupakan projek yang amat kompleks. Setelah menjalankan kerja lapangan kami, kami telah dibahagikan kerja. Kumpulan kami telah dibahagikan kepada kepada empat kumpulan kecil yang setiap satunya mempunyai tanggungjawab masing-masing. Kumpulan pertama yang terdiri daripada Dayang dan Anita bertanggungjawab menyediakan ‘power point’ untuk perbentangan. Kumpulan kedua yang terdiri daripada Fatin menyiapkan kertas kerja projek ini. Kumpulan ketiga iaitu Vesvanathan dan Kevin bertanggungjawab membentangkan ‘power point’ yang disediakan oleh Dayang dan Anita. Kumpulan akhir yang terdiri daripada Choo Wen Chun dan Pang Eng Yong bertanggungjawab menyediakan jurnal refleksi.

Di setiap kumpulan tersebut berlakunya pelbagai kesulitan. Kumpulan pertama yang menyediakan ‘power point’ terpaksa menangguhkan persiapan mereka kerana pegawai Taman Botani Kepong agak lewat menghantar informasi tentang taman botani tersebut. Kumpulan kedua pula mengalami kekangan yang sama kerana untuk menyiapkan kertas kerja, informasi serta bahan daripada Taman Botani Kepong diperlukan. Kumpulan kami telah mengatasi masalah ini dengan menghubungi pihak Taman Botani Kepong melalui pelbagai media iaitu melalui telefon serta emel.

Kumpulan tiga yang bertanggungjawab membentangkan ‘power point’ tidak dapat berlatih kerana ‘power point’ tidak dapat disempurnakan. Kumpulan empat pula menghadapi masalah kerana setiap kumpulan kecil terlalu sibuk dan kumpulan empat tidak dapat berjumpa dengan ahli-ahli kumpulan kecil untuk mendapatkan pendapat mereka tentang kerja lapangan tersebut yang akan dimasukkan ke dalam jurnal refleksi ini.

Setelah menghadapi segala masalah, kami telah membentangkan projek kami kepada pensyarah. Selepas mendengar serta menganalisa perbentangan kami, Puan Maharam telah mengenal pasti pelbagai kesalahan yang telah kami lakukan dalam perbentangan dan juga kertas kerja kami. Kesalahan-kesalahan tersebut juga agak banyak dan memerlukan kami membaiki serta struktur semula kertas kerja kami. Kami telah membuat perjumpaan bersama Puan Maharam pada pukul 12.30 pm, 20.12.2013 untuk mengenal pasti secara terperinci kesalahan-kesalahan tersebut serta cara membaiki projek kami supaya projek kami dapat disempurnakan.

Puan Maharam telah mengenal pasti setiap satu kesalahan yang telah kami lakukan dan beliau juga telah memberitahu kami langkah penyelesaiannya. Beliau juga telah memberi galakkan kepada kumpulan kami agar kami tidak berputus asa. Contohnya beliau telah berkali kali memberitahu kami bahawa projek kami masih boleh diselamatkan dan semua sumber sudahpun ada, hanya strukturnya yang perlu dibetulkan.  Setelah perjumpaan dengan Puan Maharam, kami secara sekumpulan membahagikan tugas-tugas semula untuk akhirnya menjayakan projek kami ini.


3.0 PENGALAMAN PEMBELAJARAN YANG DIALAMI

Semasa perlaksanaan kajian ini, pelbagai perkara telah kami pelajari. Antaranya, kami mempelajari cara pemeliharaan hutan simpan dan taman botani dalam sesebuah negara. Hal ini kerana, kajian yang dibuat oleh kumpulan kami memberi fokus kepada usaha pemeliharaan alam sekitar dalam negara kita secara spesifiknya Taman Botani Kepong. Jadi, kami mempelajari peranan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dalam membangunkan dan memelihara Taman Botani Kepong. Kami juga dapat membezakan jenis-jenis tanaman dalam taman botani tersebut secara kasar. Daripada tanaman yang terdapat dalam taman botani itu juga, kami dapat menerangkan ciri-ciri tanaman dan cara-cara penjagaan tanaman seperti kekerapan siraman air dan baja yang digunakan.

Selain dari itu, kami juga mempelajari bagaimana untuk bekerjasama dalam sebuah kumpulan. Dalam kajian ini, kerjasama sangat penting kerana jika terdapat pertelingkahan sesama ahli kumpulan, perkara ini boleh menyebabkan kajian ini tidak dapat dijalankan dengan lancar. Disebabkan wujudnya kerjasama antara  ahli kumpulan, kajian kami dapat diselesaikan dengan lancar dan tepat pada waktu yang ditetapkan. Setiap ahli kumpulan diminta untuk mengumpul tugasan-tugasan yang diberikan kepada ketua kumpulan untuk tujuan menjadikannya sebagai satu laporan. Pada waktu yang sama, setiap ahli kumpulan akan bersama untuk mengesan sebarang kesilapan yang ada supaya dapat dibetulkan maka tiada sebarang kesalahan wujud.

Selain itu, kami juga mempelajari persepsi yang berbeza-beza antara ahli kumpulan. Oleh sebab terdapatnya pandangan-pandangan dari ahli kumpulan yang berlainan, perbincangan perlu dilakukan dan persetujuan untuk menggunakan alternatif yang terbaik perlu dikenal pasti. Kami juga mempelajari sikap bertolak ansur sesama ahli kumpulan dan sanggup menerima kritikan dari ahli kumpulan sendiri dengan hati yang terbuka untuk sedar akan kesilapan yang telah dilakukan. Ekoran itu, kami juga berlajar bahawa kritikan amat penting kepada setiap individu untuk menambah baik diri lagi serta belajra daripada kesalahan-kesalahan agar tidak mengulanginya lagi. Begitulah antara pengalaman pembelajaran yang telah kami perolehi sepanjang kami melaksanakan kajian ini.


4.0 KELEMAHAN SEMASA MENJALANKAN KAJIAN

Sepanjang menjalankan kajian, kami telah mengenalpasti kelemahan yang terdapat dalam kumpulan kami. Kelemahan-kelemahan yang didapati adalah pada tahap minimum di mana ianya dapat diterima secara terbuka oleh setiap ahli kumpulan. Kelemahan yang paling utama adalah kurangnya kesedaran mengenai tanggungjawab masing-masing. Kesedaran yang kurang mengenai tanggungjawab masing-masing ini kebanyakannya adalah berpunca tentang kecuaian diri sendiri.

Kecuaian diri sendiri yang dimaksudkan adalah mengenai kegagalan kami untuk menyesuaikan keadaan diri dengan semester pertama. Walaupun kami sudah belajar lebih kurang sebulan di Universiti Kebangsaan Malaysia, namun kami tidak berbuat langkah yang sepatutnya dalam gerak kerja kami. Kami seolah-olah menganggap yang kami mempunyai banyak masa lagi di mana terdapat 14 minggu dalam satu semester. Kami gagal untuk membuat kerja-kerja dengan lebih cepat dan efisien. Kebanyakan gerak kerja hanya dilakukan setelah mendapat desakan daripada ahli kumpulan yang lain ataupun setelah diingatkan oleh pensyarah semasa dalam kuliah.

Kesemua ahli kumpulan menerima kelemahan ini sebagai sesuatu yang boleh diterima asalkan kesemua tugasan masing-masing dapat disiapkan dan dikumpul di mana seterusnya ia dapat dihantar kepada pensyarah sebelum tarikh akhir penerimaan. Kami menggunakan pengalaman ini sebagai pengajaran agar kami tidak lagi mengulangi kesilapan ini dan melaksanakan setiap tugasan dengan cepat supaya tidak lagi perlu tergesa-gesa menyiapkannya.

Kelemahan seterusnya yang dapat dikenalpasti adalah kekurangan pengetahuan tentang isu alm sekitar khususnya dalam bidang pemeliharaan dan pemuliharaan hutan simpan serta taman botani.

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, dengan kesemua ahli kumpulan kami mempunyai latar belakang sebagai pelajar jurusan undang-undang, kami kekurangan ilmu pengetahuan mengenai penjagaan alam sekitar terutamanya peranan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia. Untuk mengatasi permasalahan tersebut, kami telah berkongsi pendapat dan mengambil keputusan untuk meminta pertolongan daripada pegawai pentadbir Taman Botani Kepong. Dengan mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam sebagai pegawai pentadbir Taman Botani Kepong, beliau merupakan calon terbaik dalam membantu kami untuk melaksanakan kajian ini.

Beliau menerangkan keunikan-keunikan tanaman yang terdapat dalam Taman Botani Kepong dan aspek-aspek yang membantu dalam pelaksanaan kajian kami. Dengan nasihat dan bantuannya, kami bersetuju untuk memilih objektif iaitu alam sekitar yang bebas daripada pencemaran dan alam sekitar sebagai aspek utama yang dikaji dalam membuat kajian ini.

Setelah itu, kerja-kerja kami dan segala permasalahan kami dapat diselesaikan dengan bantuan dan pertolongannya. Ini secara langsung dapat membantu kami mengatasi kelemahan kami dalam kurangnya pengetahuan tentang isu alam sekitar.


5.0 KEKUATAN SEMASA MENJALANKAN KAJIAN

Di samping mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang wujud dalam kumpulan, kami juga telah dapat menemui dan mengenalpasti kekuatan-kekuatan kumpulan kami.  Kekuatan ataupun kelebihan pertama yang dapat kami kenalpasti adalah komunikasi yang mudah diwujudkan antara setiap ahli. Seperti yang telah dinyatakan, kesemua ahli kumpulan kami adalah daripada jurusan yang sama iaitu jurusan undang-undang. Hal ini bermakna kami dapat bertemu satu sama lain kerap maka masa perjumpaan dapat ditetapkan dengan mudah. Selain itu, kami juga terdapat di tempat yang sama maka perjumpaan dapat dijalankan dengan mudah di perpustakaan undang-undang. Tambahan pula, kami semua fasih dalam bahasa melayu dan bahasa inggeris. Hal ini bermakna mana-mana arahan ataupun nasihat dapat difahami dengan jelas sama ada daripada ahli kumpulan ataupun daripada pensyarah. Perkara ini amat penting kerana hal ini bermaksud tidak berlakunya perselisihan faham antara ahli kumpulan yang akan menangguhkan pernyiapan projek ini.

Kelebihan seterusnya ialah, sebelum ini, kami telah mempunyai pengalaman dalam membuat kerja secara bersama. Pembelajaran dalam universiti yang banyak memerlukan pembentukan kumpulan dalam membuat sesuatu tugasan telah memberi kami peluang membuat kerja bersama-sama sebelum ini. Oleh itu, dalam tugasan ini, hampir semua tingkah laku ataupun kebiasaan setiap daripada kami telah  dapat difahami. Hal ini banyak membantu dalam menyiapkan kajian dalam masa yang singkat kerana kami sudahpun mengenali ahli kumpulan kami maka semasa pembahagian tugasan, kami dapat mengoptimumkan kekuatan setiap ahli kumpulan.

Selain itu, tabiat belajar yang sama juga menjadi salah satu kelebihan ataupun kekuatan kami. Kami semua sebagai mahasiswa dan mahasiswi telah berkerja keras untuk memasuki universiti maka kami semua tahu bahawa kami memang individu yang mampu mencari jalan penyelsaian sekiranya kami bertemu dengan halangan.  Sekiranya ada sesuatu permasalahan ataupun persoalan yang timbul dalam membuat tugasan ini, kami akan berjumpa di perpustakaan bagi menyelesaikannya. Masalah atau persoalan yang timbul bukan sahaja dapat diselesaikan, ianya juga diselesaikan dapat masa yang singkat. Ekoran itu, sekiranya kami berdepan dengan sesuatu masalah yang tidak kami selesaikan walaupun telah berbincang secara berkumpulan, kami akan membuat perjumpaan dengan pensyarah kami supaya beliau dapat memberi idea-idea beliau agar masalah kami dapat diselesaikan.

Kekuatan yang seterusnya ialah komitmen dan kerjasama daripada semua ahli kumpulan yang tidak terhingga-hingga. Kami telah berinteraksi dengan kumpulan-kumpulan lain yang mengemukakan masalah utama yang dihadapi adalah ahli kumpulan yang kurang komited. Hal ini merupakan masalah yang besar kerana tanpa kerjasama dan komitmen yang mencukupi daripada semua ahli kumpulan, projek besar ini tidak akan dapat disempurnakan. Selain itu, kerjasama amat penting kerana semua ahli kumpulan patut memberi input dan idea agar idea yang paling efektif dapat dipilih. Justeru, jika sebuah kumpulan menghadapi masalah, semua ahli kumpulan patut berkerjasama untuk menyelesaikannya dan tidak hanya bergantung kepada beberapa ahli kumpulan. Hal ini akan menimbulkan stres dan tekanan kepada beberapa ahli kumpulan tersebut yang mungkin akan menjejaskan kesihatan dan prestasi akedemik mereka dalam matapelajaran lain yang juga amat penting.


6.0 LANGKAH-LANGKAH DAN CADANGAN PEMBAIKAN

Langkah-langkah dan cadangan penambahbaikan yang telah kami persetujui bersama adalah melibatkan kerja-kerja refleksi. Seperti yang telah dinyatakan, kami telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang terdapat pada setiap ahli kumpulan agar ia dapat dijadikan pengajaran supaya tidak lagi diulangi pada masa depan.

Kami patut menyediakan kalendar yang membolehkan kami merancang semester kami. Perkara ini walaupun boleh dianggap sebagai langkah yang digunakan sebagai seorang pelajar sekolah rendah atau menengah tetapi langkah ini amat efektif dan patut lagi dipraktikkan di universiti. Sebagai pelajar-pelajar semester pertama tahun pertama, perancangan masa memang perkara yang berat dan susah pada mulanya. Walaupun kini sudahpun di peringkat hujung semester kami, perancangan masa masih merupakan sesuatu masalah kepada kami. Kami patut sedar dari awal beban dan tanggungjawab kami dalam semester maka perancangan yang diperlukan dapat diambil. Hal ini akan mengelakkan daripada berlakunya stres kepada seorang pelajar.

Kami juga sedar bahawa masyarakat kini kurang sedar akan kepentingan alam sekitar. Hal ini amat membimbangkan, kerana alam sekitar merupakan salah satu anugerah tuhan yang tidak ternilai. Melalui projek kami ini, kami sedar kepentingan alam sekitar serta kami juga rasa bimbang kerana alam sekitar dalam Negara kami semakin dicemar dan berkurang. Kami bercadang agar kempen-kempen haruslah dijalankan. Kempen-kempen ini tidak perlu berskala besar seperti peringkat negeri ataupun Negara. Kempen-kempen ini hanya berskala universiti kami juga memadai kerana sekurang-kurangnya lebih banyak orang sedar akan kepentingan sumber ini.

Dengan mengambil langkah-langkah yang telah dijelaskan di atas, segala masalah dan kekusutan yang akan timbul pada masa depan semasa membuat kajian akan dapat diatasi. Selain itu, kerjasama sesama ahli kumpulan adalah kunci segala-galanya. Hal ini penting bagi memahami setiap ahli kumpulan kami dan saling membantu dalam menyiapkan kajian ini.


7.0 PENUTUP

Sebagai kesimpulan bagi jurnal refleksi ini, tugasan kajian yang telah dilaksanakan oleh kami banyak membantu kami dalam melengkapkan diri sebagai seorang pelajar yang mampu bekerja dalam satu kumpulan.

Segala usaha kami dalam menyelesaikan kajian ini mendatangkan hasil apabila ianya telah lengkap dan siap untuk dihantar. Kejayaan kajian ini merupakan hasil daripada kerjasama setiap ahli kumpulan yang tidak berbelah bahagi. Selain itu, pertolongan dan bimbingan daripada pensyarah juga tidak dapat dilupakan. Segala ilmu yang diajar dalam waktu kuliah sangat membantu kami dalam menyiapkan kajian ini mengikut kehendak pensyarah.

Selain itu, bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan semasa kami membentang idea kajian ini juga banyak membantu. Ulasan-ulasan serta kritikan yang diberikan oleh pensyarah dalam waktu kuliah kami jadikan sebagai garis panduan dalam membuat kajian ini.

Sebagai penutup, sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada kesemua pihak yang membantu kami dalam membuat kajian ini.

 

No comments: