Monday, October 3, 2011

WATAK DAN PERWATAKAN DALAM NOVEL MENCARI AZIZAH

ZZZT2213
BENTUK-BENTUK PENULISAN

ULASAN NOVEL
‘MENCARI AZIZAH’
KARYA
KHADIJAH HASHIM

PENSYARAH :
CIK MAHARAM BINTI MAMAT

OLEH :
KUMPULAN MAWADDAH WARAHMAH

AHLI KUMPULAN:
ANA FAIZA BINTI MD. NOR
HARIANI BINTI MOHAMAD
NORLIANA BINTI ZAIMON




WATAK DAN PERWATAKAN DALAM NOVEL MENCARI AZIZAH


1.0 PENGENALAN

Novel merupakan satu genre kesusasteraan moden yang diminati ramai. Ianya tergolong dalam penulisan kreatif. Sebuah novel yang baik mestilah mempunyai watak-watak yang mampu membawa cerita untuk terus berkembang. Watak-watak inilah yang diceritakan dan watak jugalah yang berkuasa menghidupkan cerita. Oleh itu watak ialah elemen terpenting dalam sesebuah penceritaan.

Sesebuah watak diberikan gambaran latar belakang, fizikal, pemikiran dan tindak-tanduknya dalam mengembangkan sesebuah penceritaan. Watak ini juga harus dibuat dengan deskripsi yang jelas, meyakinkan dan peranannya yang besar. Ia boleh digambarkan samada melalui deskripsi pengarangnya, dialog atau monolog dalaman watak dan juga melalui persepsi watak lain. Watak akan kelihatan lebih menarik dan lebih memberikan impak jika ianya digambarkan secara tidak langsung.

Disamping itu, watak juga menggerakkan plot cerita seterusnya mewujudkan konflik. Konflik ini pula berperanan membentuk struktur dramatik terhadap watak di mana kedua-duanya saling berkait rapat untuk menghasilkan sebuah novel yang menarik. Kewujudan berbagai-bagai konflik dalam novel ini biasanya ada jalan penyelesaiannya. Susunan peristiwa demi peristiwa yang lebih konkrit menganjak konflik ke tahap yang lebih tinggi. Di sinilah terlakarnya unsur-unsur saspen dan klimaks yang menjadi titik tertinggi keupayaan penulis untuk memukau pembaca. Manakala peleraian merupakan satu kesudahan yang berperanan untuk menyempurnakan cerita. Ianya adalah pelengkap cerita menamatkan semua persoalan. (Lim Swee Tin, 2001)


2.0 TUJUAN KAJIAN

Tujuan utama kajian ini dilakukan adalah untuk melihat sejauh mana watak utama mempengaruhi dan menerajui sesebuah penceritaan. Selain itu, kajian juga dilakukan untuk melihat perkembangan watak dari permulaan plot (eksposisi) sehingga kepada perkembangan plot yang mengakibatkan konflik. Konflik yang ingin dikaji di sini adalah konflik dalam jiwa watak utama iaitu Azizah. Menurut Lim Swee Tin (2001), konflik bermula dengan timbulnya masalah.

Seterusnya novel ini berkembang kepada peringkat pertengahan cerita, iaitu perumitan (komplikasi) apabila tercapainya konsentrasi yang maksimum. Di peringkat ini, konflik kelihatan semakin kompleks seolah-olah mustahil untuk diselesaikan. Kemudian apabila urutan cerita menuju kepada peleraian dan penyelesaian, konflik itu berjaya diselesaikan.

Di sinilah kajian ingin dilakukan untuk melihat bagaimana watak utama keluar dari konflik yang membelenggu dirinya. Disamping itu juga, kajian ini dilakukan untuk mengenalpasti aspek psikologi bagi mengatasi konflik yang terdapat dalam diri watak utama yang menjadi penarik kepada perjalanan cerita ini.


3.0 SKOP KAJIAN

Melalui novel Mencari Azizah ini, skop kajian adalah merangkumi watak dan perwatakan pelakunya di mana watak merupakan pelaku atau ‘seseorang’ dalam sesuatu karya yang menggerakkan cerita dengan cara berinteraksi sesama watak lain dan alam. Manakala, perwatakan pula ialah pelukisan tentang watak dari aspek luaran dan dalaman. Pelukisan watak ini dilakukan secara langsung atau secara tidak langsung oleh pengarang melalui aksi, tutur kata, atau watak-watak berkenaan. Sifat perwatakan digambarkan melalui tindak-tanduknya, cara berfikir, cara bercakap, rupa paras, fizikalnya, kepercayaannya dan ideologi, serta gambaran perasaan seseorang atau watak itu.


Skop kajian ini juga mengkaji bagaimana watak utama dalam cerita ini menghadapi konflik dalam dirinya. Konflik merupakan pertentangan jiwa dalam satu urutan plot. Konflik boleh berlaku secara dalaman, iaitu konflik dalam diri watak dan secara luaran, antara watak dengan watak yang lain atau antara watak dengan alam sekitar. Konflik dapat juga digambarkan melalui pertentangan pendapat, idea, sikap atau pemikiran.


4.0 KAEDAH KAJIAN

Kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan. Segala maklumat berkaitan yang diambil daripada buku-buku, juga daripada nota-nota kuliah yang diberikan oleh pensyarah, diolah, dianalisa, disusun, dan digarap sebaik mungkin bagi menghasilkan kertas kerja yang bermutu. Di samping itu, kajian ini juga menggabungjalinkan idea-idea dan pandangan pengkaji sendiri.



5.0 SINOPSIS NOVEL

Menerusi Mencari Azizah, Khadijah Hashim mengajak pembaca menyelami jiwa seorang wanita yang tabah dalam mencari identiti dan kekuatan diri. Novel ini memuatkan nilai-nilai kasih sayang, kekeluargaan, ketuhanan dan nilai persahabatan yang digarap dalam gaya bahasa yang menarik dan indah.

Di permulaan cerita, garapan watak Azizah dibuat dengan cukup menarik dan penuh konflik. Kisah yang bermula di lapangan terbang dalam perjalanan menuju ke Iowa, Chicago, Azizah membiarkan dirinya terbuai dalam dilema antara mencari kekuatan dan identiti diri serta perasaan berbelah-bagi meninggalkan anak-anak demi untuk mencapai cita-citanya menggenggam segulung MA.

Novel ini juga mengangkat watak Azizah sebagai seorang wanita pan Asian yang amat manis samada dari segi luaran mahupun dalaman. Namun, Azizah sentiasa dibayangi dengan kehidupan rumahtangganya yang kecundang. Pergolakan dalam diri Azizah bermula apabila beliau mendapat tahu suaminya telah berkahwin lain tanpa pengetahuannya. Di perantauan, Azizah belajar untuk membina semula keyakinan diri disamping mencari kekuatan diri yang telah lama hilang. Azizah juga berusaha mencari bapanya yang tidak pernah ditemui sepanjang usianya 35 tahun.

Di kemuncak cerita, usaha yang ditunjangi dengan keberanian dan pertolongan rakan-rakannya untuk mencari ayah membuahkan hasil. Jejak kasih itu telah merubah keseluruhan hidup Azizah. Dirinya yang dulu dipandang rendah oleh bekas suami dan ibu mertuanya, kini menjadi pujaan dan harapan mereka untuk menyelamatkan perniagaan dan maruah sebagai keluarga bangsawan.

Novel ini diakhiri dengan cukup dramatik di mana Azizah berjaya mengembalikan semula harga diri dan kekuatan dirinya, ayah yang tidak pernah ditemui sejak dalam kandungan kini telah bersua muka, bekas suami dan ibu mertua yang dulu meminggirkannya kini telah menjilat kembali ludah mereka dan seorang teman yang disangka ikhlas dalam membantu rupanya mempunyai maksud dan tujuan yang tersirat.


6.0 WATAK DAN PERWATAKAN AZIZAH DALAM NOVEL MENCARI AZIZAH

Watak utama yang dikaji dalam novel ini ialah Azizah. Azizah digambarkan sebagai seorang wanita Pan Asian yang jelita. Memiliki sepasang mata yang bulat bersinar, berbulu mata lentik, berkulit halus putih melepak, berhidung mancung dan berdahi jendul, Azizah ibarat sekuntum mawar merah yang menjadi rebutan jejaka di kampus sewaktu bergelar mahasiswi. Azizah juga merupakan wanita kacukan hasil perkahwinan ibunya seorang gadis kampung dan ayahnya seorang Pegawai Penyelidik Hutan dari Amerika yang meminati keunikan alam semulajadi di hutan Negara.

Dalam usianya 35 tahun, Azizah menyusuri jalan penuh berliku dalam rumahtangganya. Hidup sebagai seorang suri di sangkar emas yang membesarkan 2 anak gadis yang masih kecil, Azizah sentiasa bersikap mengalah dan menerima kerana menyedari dirinya tidak setaraf dengan keluarga Zamri, suaminya. Azizah sering menyamakan dirinya seperti bacang yang berkulit licin tetapi busuk di dalam. Perumpamaan untuk dirinya ini jelas menggambarkan kehidupan yang tidak seindah seperti yang dipamerkan kepada umum.

Dalam rumahtangganya, Azizah sering merasakan dirinya hanyalah sebagai hiasan. Tidak ada hak untuk bersuara dan memberikan pandangan. Pernah sesekali mencuba, namun Azizah serik dengan teguran ibu mentua yang lebih merupakan ingatan dan amaran. Kalau ada idea bernas pun cuma disimpan dalam kepala. Azizah hanya berlagak pasif semata-mata menjaga ego suami dan ibu mentua. Azizah juga tidak faham kenapa Zamri bekas pemimpin pelajar sewaktu di universiti yang terbuka menerima pendapat orang lain tetapi bersikap kuku besi terhadap isteri. Kuasa veto digunakan sehabis-habisnya. Untuk tidak menimbulkan kekecohan dalam keluarga, Azizah hanya mengambil sikap berdiam diri.

Pergolakan konflik jiwa Azizah ini ditambah lagi dengan persoalan yang sentiasa timbul dalam diri Azizah. Azizah anak tunggal berbintikan ‘Mat Saleh’. Sering menjadi tanda tanya dan dipandang sinis oleh masyarakat mahupun oleh keluarga suaminya sendiri. Lantas, kebetulan menjejakkan kaki ke bumi Amerika digunakan sebaik-baiknya untuk mencari ayah kandungnya demi untuk membuktikan bahawa semua cercaan orang salah belaka.



7.0 KEKUATAN DAN KELEMAHAN WATAK AZIZAH

Melalui watak Azizah, Khadijah Hashim telah berjaya menggambarkan keseluruhan cerita ini. Sebagai memenuhi norma manusia biasa, pengarang mewujudkan berbagai-bagai situasi bagi menggambarkan kelebihan dan kelemahan Azizah sebagai seorang wanita dalam menghadapi kemelut kehidupan.

Di sinilah Azizah telah melalui proses sublimasi (Nye, 1992) iaitu naluri-naluri yang sentiasa mendesak individu dan berupaya menimbulkan kegelisahan di dalam diri tetapi dilepaskan dalam bentuk positif yang boleh diterima masyarakat umum. Azizah menenggelamkan rasa gelisah dalam dirinya dengan mengambil satu langkah positif iaitu menyambung pelajaran ke peringkat MA di rantau orang. Selain sebagai satu usahanya untuk menimba ilmu, langkah ini juga sebagai satu cara untuk Azizah mengalihkan rasa sedih dan kecewa terhadap keruntuhan rumahtangganya. Azizah menjadikan tuntutan menimba ilmu ini sebagai satu cara mencari identiti baru dan meningkatkan keyakinan diri untuk menghadapi masa akan datang. Pergolakan diri Azizah ini jelas terpapar di awal novel ini:

Merajuk atau melarikan diri? Moga-moga jauh dari Zamri akan dapat mengubat hati yang luka. Harap-harap jauh di mata, jauh juga dari ingatan...Aku pergi berbekalkan semangat waja mencari diri, membetulkan arah. Lebih sepuluh tahun masa terbuang, menghamba diri, membodohkan diri mengikut kata Zamri semata-mata hendak menjaga hati suami, demi kebahagiaan rumahtangga.
(Mencari Azizah; hal. 4-5)



7.1 KELEBIHAN WATAK AZIZAH

Kelebihan pada watak Azizah adalah Azizah berjaya mengalihkan kesedihannya dengan sesuatu yang lebih positif iaitu menyambung pelajaran di peringkat MA di sebuah university di Iowa. Dalam keadaan diri yang penuh dengan konflik jiwa, Azizah berjaya membina semula keyakinannya. Menurut Nye (1992), pengalihan ialah proses penyaluran tenaga naluri kepada aktiviti-aktiviti yang merupakan alternatif dan bukannya penyaluran kepada aktiviti-aktiviti langsung yang merupakan jalan penyelesaiannya. Kesungguhan Azizah ini dapat digambarkan dalam petikan di bawah ketika Azizah bermonolog panjang dengan dirinya:

Seharusnya aku tidak berada di sini. Kalau setakat hendak mendapat masters, di universiti Malaysia pun boleh. Tetapi kenapa aku di sini? Bukan. Bukan masanya untuk menyesal. Aku sendiri yang membuat pilihan belajar di Iowa. Jauh daripada Zamri. Kalau begitu tepatlah kata Kamaliah, aku datang ke Iowa untuk mengubat hati yang luka. Apapun tanggapan Kamaliah, sebenarnya tidak penting bagiku. Soal pokok, aku mesti berjaya membina hidup baru.
(Mencari Azizah; hal. 69)

Azizah juga berjaya bangkit daripada kegagalannya di alam rumah tangga. Dengan satu semangat baru, Azizah cuba keluar dari kepompong seorang wanita yang pasrah menerima apa saja. Walaupun telah biasa hidup dalam kemewahan dan kesenangan, Azizah berjaya berdikari dan sanggup menerima cabaran baru di tempat orang. Sikapnya itu dapat dilihat dengan jelas berdasarkan petikan di bawah :

Azizah kini adalah Azizah baru masih bernyawa, belum patah hati, belum hilang semangat. Aku mahu hidup seribu tahun lagi! Akan kubuktikan pada dunia bahawa terdirinya Azizah di sini bukan lari daripada kenyataan hidup. Berdirinya aku di bumi Iowa bukan kerana merajuk diceraikan Zamri. Semangatku segagah pohon maple itu, tegak berani menghadapi pertukaran cuaca empat musim.
(Mencari Azizah; hal. 65)


Menurut Robiah (1995), penghargaan kendiri yang tinggi dan padat dilihat melalui ciri-ciri positif seperti berdikari, sanggup menerima tanggungjawab, bersedia menghadapi cabaran baru dengan penuh azam, berjaya menghadapi kekecewaan dan berkeupayaan mempengaruhi orang lain. Penghargaan kendiri ini sebenarnya mempengaruhi tahap keyakinan seseorang terhadap dirinya sendiri samaada ia bersikap optimis atau sebaliknya. Sebagai seorang yang baru bangkit dari kegagalannya, Azizah berjaya mengembalikan harga dirinya yang telah lama tercalar. Azizah berazam untuk membina hidup baru tanpa bergantung harap lagi kepada keluarga bekas suaminya. Hal ini dipaparkan oleh pengarang seperti dalam petikan "Teguhkan iman, kuatkan semangat, Azizah sekarang bukan Azizah dulu yang berpaut bergantung pada orang lain. Izinkan aku mencorak masa depanku" (Mencari Azizah; hal. 17).

Dari satu sudut, Azizah dillihat sebagai seorang wanita yang mendendami bekas suami dan ibu mertuanya yang selama ini meminggirkannya dan memandang rendah padanya. Ini kerana, sepanjang perkahwinannya, Azizah seolah-olah tidak punya hak untuk bersuara sebagai seorang wanita mahupun isteri. Azizah sering diketepikan dalam apa jua perkara yang berkaitan keluarga mahupun syarikat. Keadaan ini jelas melalui kata-kata Zamri kepada Azizah, “Awak tahu apa tentang business. Duduk saja di rumah jaga anak.” (Mencari Azizah; hal. 29)


Azizah juga turut dipinggirkan oleh ibu mertua. Ia dapat dilihat dalam situasi seperti di bawah:

Perbincangan ibu mertua dengan anak-anaknya usah disampuk sebab itu adalah urusan keluarga. Dia cuma ditugaskan untuk menghidangkan kopi. Dia seolah-olah bukan sebahagian daripada ahli keluarga itu.
(Mencari Azizah; hal. 151)

Namun Azizah masih dapat mendidik jiwanya agar tidak menurut kata hati. Azizah cuba menerima takdir hidupnya dengan cara yang paling baik iaitu berserah kepada Allah dan cuba mencari kembali dirinya yang telah hilang. Azizah pasrah dengan ketentuanNya seperti yang dipaparkan dalam petikan tersebut:

Kenapa mesti bersedih? Bukankah ini pilihanku? Usah gelisah resah. Di mana pun aku berada aku masih di bawah lindunganMu...Kenapa aku mesti di sini? Alangkah selesanya kalau di rumah bersama anak-anak! Allah, berilah aku petunjuk dalam menjalani hidup di tempat yang jauh ini. Permudahkan hidupku di sini.
(Mencari Azizah; hal. 37 & 110)

Atas keyakinan itulah Azizah tidak henti-henti berdoa. Baginya dia tidak mahu menjadi seorang hamba yang sombong kepada tuhannya sendiri. Sikap ini jelas ditunjukkan dalam petikan berikut:

Doa itu ibadat. Mereka yang tidak berdoa pada Allah adalah orang yang sombong. Sombong? Hendak sombong pada siapa? Aku tidak sombong. Aku tahu betapa kecilnya aku di bumi Mu, Allah!
(Mencari Azizah; hal. 114)


Sikap Azizah ini amat bertepatan dengan teori Imam Ghazali, jiwa manusia itu dapat dilatih, dididik, dikuasai dan diubah supaya mempunyai akhlak yang mulia dan terpuji. Menurut beliau lagi, mendidik jiwa dan budi pekerti seseorang itu bukanlah mustahil kerana Nabi Muhammad SAW telah berpesan, ‘perbaikilah akhlak dan kelakuan’. (Muhammad Isa, 1998)

Ainon Mohd. (1997) pula berpendapat bahawa estim adalah bagaimana kita menilai diri kita. Konsep estim ini memberi penekanan bagaimana kita melihat diri sendiri meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial kita. Dalam membina estim yang positif Azizah telah menanamkan rasa yakin bahawa dia mampu menentukan kedudukan dirinya. Azizah tahu bahawa dia bukan anak haram seperti yang digembar-gemburkan oleh orang-orang kampung seperti dalam petikan di bawah :

Emak dihina oleh orang kampung kerana melahirkan seorang bayi berwajah ‘mat saleh’. Orang kampung memfitnah kononnya emak berlaku sumbang sebelum bernikah.
(Mencari Azizah; hal. 15)

“Anak dara gatal!” itu gelaran diberi.
“Padan muka ditinggalkan dek orang putih!” tempelak jiran-jiran Mak Long.
(Mencari Azizah; hal. 57)

Azizah juga sering menerima kutukan dan cercaan orang kerana memiliki wajah mat saleh terutama daripada ibu mertuanya sendiri. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan di bawah:

Itulah tuah celaka berwajah pan-asian. Kerana hidung yang cantik berbentuk itulah menjadi keraguan kepada keluarga Zamri. Ibu mertua bergelar datin itu masih tertanya-tanya siapa sebenar bapa Azizah meskipun telah diterangkan bahawa ayahnya seorang lelaki Amerika yang telah memeluk Islam.
(Mencari Azizah; hal. 11)

Namun berdasarkan pengakuan ibunya, “Kau anak yang suci. Emak tidak melakukan perkara terkutuk sebelum bernikah.” (Mencari Azizah; hal. 15) dan “Kau tetap suci di mata Islam. Emak tidak melakukan perkara sumbang sebelum bernikah dengan ayah kamu. Allah saja yang tahu apa sebenar yang berlaku.” (Mencari Azizah; hal. 17)

Azizah sanggup menanggung risiko mencanangkan mengenai pencarian ayah kandungnya di media massa walaupun menerima kutukan dan pandangan sinis orang lain yang mengatakan dia hanya mahu mencari populariti. Azizah tetap bertegas dengan tindakannya. Ini kerana walau apapun pendapat dan pandangan orang, keputusan akhirnya masih terletak di tangan sendiri. Ketegasannya ini jelas dipaparkan melalui petikan, ‘Dalam suasana bening bersendirian menunggu bas tengahari itu dia masih bertanya: jika bukan aku yang berusaha mencari ayah, siapa lagi?’ (Mencari Azizah; hal. 124)

Dalam usaha mencari ayah yang tidak pernah ditemuinya pula, Azizah menggunakan teori Hoy dan Miskel (1978) yang menjelaskan bahawa proses penyelesaian masalah perlu melalui peringkat mengenalpasti dan mendefinisikan masalah, menganalisis kesukaran masalah dalam situasi semasa, mengadakan kriteria untuk penyelesaian, membuat perancangan atau strategi untuk tindakan dan membuat perancangan untuk merencana, berkomunikasi, menyelenggara dan menilai. Akhirnya selepas kita menggunakan cara dan strategi penyelesaian itu, barulah kita menilai kembali keberkesanannya. Setelah meneliti cara terbaik untuk mencari ayahnya, Azizah bersetuju dengan cadangan Robert, rakannya seuniversiti untuk mengiklankan berkenaan ayahnya di media massa.

Ah, apa hendak dihairankan, ‘dasar langit terbuka’, entahkan emak dan ayah Sudin pun sudah tahu. Kalau berita itu tersiar di CNN tentu saja tersiar di televisyen Malaysia.
(Mencari Azizah; hal. 186)

Dalam situasi ini, Azizah mengambil risiko tinggi dengan mencari ayahnya melalui televisyen, akhbar dan internet. Azizah mengenepikan soal malu dan pandangan masyarakat atas usahanya itu. Seperti yang dikatakan oleh Khalifah Ali ra bahawa orang yang banyak memikirkan soal risiko, beliau menjadi seorang yang tidak berani. Sifat yakin sebenarnya terletak pada diri sendiri. Kita boleh memilikinya atau melenyapkan keyakinan itu. (Muhammad Isa, 1998) Atas keyakinan itulah Azizah tekad untuk terus mencari ayahnya.

Azizah juga menilai dirinya yang baru sebagai seorang yang tabah menghadapi cabaran, berkeyakinan dan mempunyai kekuatan untuk mengatasi setiap dugaan. Azizah ingin bangkit dari kehidupannya yang lalu. Azizah ingin membuktikan bahwa dia akan boleh menjadi seorang Azizah yang baru bukan lagi hanya mengangguk dan mengiakan. Azizah juga ingin membuktikan bahawa dia seorang yang mempunyai harga diri, bukan untuk dijadikan patung di dalam rumah.

Menurut James (1890), harga diri ialah bagaimana seseorang itu menilai dirinya sendiri. Seseorang boleh menilai dirinya dari aspek positif atau negatif. Kebanyakan individu akan melihat dirinya secara positif dan mereka mampu menghadapi kehidupan yang lebih mencabar. Biasanya seseorang yang mempunyai darjah harga diri yang tinggi dipengaruhi oleh peristiwa yang berlaku. Seperti Azizah, pengalaman hidupnya yang lalu mengajarnya menjadi seorang yang lebih mempunyai harga diri tanpa membiarkan orang lain menguasai hidupnya yang jelas disampaikan melalui petikan tersebut:

Akulah camar yang sedang terbang membelah lautan. Akulah helang yang terbang tinggi membelah angkasa. Tidak ada sesiapa yang berkata : jangan itu, jangan ini. Buat itu, buat ini. Aku tidak akan membenarkan siapa jua menerajui hidupku.
(Mencari Azizah; hal. 6)

Manakala dalam menghadapi suasana baru sebagai seorang pelajar tua pula, situasi Azizah dapat dikaitkan dengan pendapat Ainon Mohd. (2002) yang menghuraikan teori Dr. Bob Montgomery dalam The Truth About Success and Motivation, memberi pedoman untuk mencapai kejayaan, seseorang itu harus menewaskan nafsu yang mendorong kepada kegagalan seperti sifat malas, tiada mood untuk belajar atau sebarang perbuatan yang tidak membantu kejayaan kita. Sebagai seorang dewasa yang telah lama meninggalkan alam pembelajaran, Azizah cuba sedaya-upaya untuk menumpukan perhatian pada pelajaran walau kadangkala terleka melayan perasaan mahupun gangguan-gangguan lain seperti televisyen. Situasi ini jelas digambarkan dalam petikan, ‘Assignment belum selesai. Lusa mahu diserahkan kepada pensyarah. Azizah sekarang bukan Azizah dulu. Mesti bijak mengatur masa, bukan leka menonton televisyen.’ (Mencari Azizah; hal. 45)



7.2 KELEMAHAN WATAK AZIZAH

Ditinjau dari sudut kelemahan, Azizah banyak menerima tekanan daripada suami dan ibu mertuanya. Keadaan ini ditunjukkan dalam apabila Azizah sering bermonolog kepada dirinya sendiri seperti petikan di bawah:

Akulah manusia bodoh yang menurut kata membuta tuli tidak ubah macam hamba. Makan dilayan, nasi mesti disenduk ke pinggan, Cuma tidak disuap ke mulut. Segala yang teringin mesti dimasakkan. Ikut segala keletahnya. Ada masanya tidak mahu masakan pembantu, aku juga yang jadi babunya. Begitulah taatnya aku melayan Datin Mariah, tetapi apabila Zamri berkahwin lagi dia tidak pun membantah, malah gembira kerana dapat merapatkan dua keluarga bangsawan. Aku pula diungkit-ungkit sebagai tidak kufu.
(Mencari Azizah; hal. 6)

Menurut teori keperluan manusia Maslow (1962), manusia perlu melalui beberapa peringkat iaitu peringkat kesempurnaan diri, kesempurnaan keselamatan, kesempurnaan sosial, keperluan harga diri dan kesempurnaan kendiri. Keperluan-keperluan inilah yang gagal dipenuhi ketika Azizah hidup bersama-sama Zamri. Keadaan ini jelas seperti dalam petikan di bawah :

Zamri yang besar panjang ini pun masih takut dengan ibunya, masih tidak dapat berfikiran rasional. Apa gunanya mendukung biawak hidup? Demi maruah! Maruah apa kalau semuanya hampir tergadai? Mujurlah ada penyelamatnya. Tetapi penyelamat itulah pula yang menyingkir Azizah daripada keluarga bangsawan Datin Mariah.
(Mencari Azizah; hal. 29)

Daripada petikan tersebut, jelas bahawa segala keperluan Azizah tidak dapat dipenuhi oleh Zamri. Zamri tidak dapat menjaga harga diri Azizah di mata keluarganya sebaliknya Zamri sendiri yang menafikan kesempurnaan kendiri dan sosial Azizah melalui kata-katanya :

“Awak fikir senang hendak menguruskan perniagaan dua syarikat menjadi satu!” itu pula alasannya. Jawapan itu sekaligus memperkecilkan kebolehan Azizah yang mempunyai ijazah ekonomi. Apakah kerana aku ini suri rumah sepenuh masa, maka pandanganku, ideaku tidak boleh dipakai? Bodoh benarkah aku? Aku masih membaca, masih mengikuti perkembangan dunia.
(Mencari Azizah; hal. 31)

Menurut Sears (1988), untuk menyelesaikan sesuatu konflik yang timbul empat cara umum boleh digunakan iaitu menyuarakan masalah, kesetiaan, tidak peduli dan keluar. Kesemua cara ini berlaku dalam penyelesaian konflik dalam rumah tangga Azizah. Dalam perkara ini seseorang individu boleh menyuarakan pendapatnya dengan tujuan untuk membaiki perhubungan. Inilah yang cuba dilakukan oleh Azizah untuk mengembalikan kebahagiaan rumahtangganya melalui petikan “Abang sudah berubah. Barangkali kita patut berbincang,” kata Azizah lembut, cuba membetulkan keadaan kelam-kabut Zamri" (Mencari Azizah; hal. 30).

Azizah juga memberikan kesetiaan sepenuhnya kepada Zamri. Sikapnya ini jelas terbukti berdasarkan petikan tersebut :

Aku bukan suri yang bergayut di telefon mendengar gossip suami dengan para artis. Aku suri rumah yang diamanahkan supaya menjaga nama baik suami. Aku isteri yang berpegang kepada Islam sebagai prinsip hidup. Aku isteri yang sentiasa mendengar nasihat orang tua. Aku isteri yang taat dan ibu yang bertanggungjawab.
(Mencari Azizah; hal. 31)

Namun seperti susu dibalas tuba, begitu jugalah yang terjadi kepada Azizah. Zamri sering menolak untuk berbincang masalah mereka. Penolakan Zamri ini jelas melalui perlakuannya dalam petikan yang berikut :

Mati hidup balik dia tidak mengaku bahawa perubahan yang berlaku kerana seorang wanita lain dalam hidupnya. Azizah belas dengan anak-anak yang tidak dapat bermanja. Segala hal diserahkan bulat-bulat kepada Azizah. Dari soal makan hinggakan soal sekolah anak. Zamri semakin tidak lekat di rumah.
(Mencari Azizah; hal. 31)

Azizah sedar akan masalah yang dihadapi oleh Zamri dan ingin menolong, tetapi apa sangat yang dapat dibantu apabila nasihat dan pandangannya tidak dihiraukan orang.
(Mencari Azizah; hal. 29)

Akhirnya jalan keluar sebagai penyelesaiannya ialah perceraian. Ini kerana Azizah tidak sanggup terus hidup dalam pahitnya bermadu. Sikap Azizah ini jelas ditunjukkan dalam petikan-petikan yang berikut:

Hem, orang tak merasa tentulah tidak tahu pahitnya bermadu. Bukanlah aku tamakkan kasih sayang, tapi aku mahukan keadilan. Apalah ertinya bersuami kalau tidak bertanggungjawab, lebihkan isteri muda?
(Mencari Azizah; hal. 7)

Azizah juga menyatakan kekesalan dan kesedihannya terhadap perbuatan Zamri kepadanya seperti yang digambarkan melalui luahan Azizah ini, ‘Tetapi dalam baikku orang mengambil kesempatan. Nasibku ditakdirkan bermadu kemudian bercerai...Entahlah, hatiku hancur-lebur tidak dapat dipujuk apabila Zamri kahwin lagi.’
(Mencari Azizah; hal. 18 & 38)



8.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, Mencari Azizah adalah sebuah novel yang indah dan penuh dengan pelbagai mesej yang merangkumi nilai-nilai kekeluargaan, kepercayaan, saling kebergantungan dan persahabatan. Pengarangnya, Khadijah Hashim ingin memperlihatkan bahawa cinta dan kasih sayang merupakan satu perasaan yang kuat bagi memenuhi keperluan emosi dan rohani dalam jiwa manusia. Perasaan cinta dan kasih sayang yang dimuatkan dalam novel ini sarat dengan pergolakan jiwa dan konflik yang berlaku dalam watak utamanya. Di sinilah letaknya unsur dedaktik atau unsur pengajaran yang ingin disampaikan dalam novel ini iaitu bagaimana Azizah menangani konflik dalaman seterusnya mencari kekuatan untuk meneruskan hidup.

Sebagai watak yang protagonis dalam novel ini, Azizah merupakan simbol seorang wanita yang berhati tabah, optimis melihat masa depannya dan sanggup menghadapi risiko dalam mencari kebenaran. Perjalanan novel yang penuh dengan konflik ini juga diwarnai dengan watak-watak sampingan yang antagonis seperti suami Azizah iaitu Zamri dan Datin Mariah, ibu mertuanya. Kehadiran watak-watak antagonis ini melahirkan satu suasana tegang dalam kehidupan Azizah. Konflik dan pergelutan jiwa Azizah berlaku sepanjang keterlibatan Azizah bersama watak-watak ini. Selain itu muncul juga watak-watak sampingan lain yang lebih optimis seperti watak yang menjadi sahabat Azizah iaitu Robert, Kelvin dan Kamaliah. Watak-watak inilah yang menguasai perjalanan cerita ini untuk tampil lebih menarik.

Bersesuaian dengan konflik yang banyak ditimbulkan dalam novel ini, Khadijah Hashim menggambarkan dengan begitu baik sekali bagaimana sesebuah konflik itu berakhir jika dapat ditangani dengan bijak. Lalu Novel ‘Mencari Azizah’ ini mengajar kita pelbagai persoalan yang di kemukakan oleh pengarang cerita ini melalui watak utamanya. Novel ini mengajar kita erti ketabahan dan kekuatan diri yang disertai dengan nilai-nilai kasih sayang dan kekeluargaan serta sikap berserah diri pada Tuhan. Pengarangnya juga ingin menunjukkan bahawa setiap usaha yang dilakukan itu pasti akan membuahkan hasil dan setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Di sinilah letaknya sebuah harga diri dan kebijaksanaan dalam menangani konflik, mempertahankan hak dan mencari kebenaran.




9.0 BIBLIOGRAFI/ RUJUKAN


Ahmad Zabidi Abdul Razak. 2006. Memimpin Diri Sendiri. Kuala Lumpur : PTS Millennia Sdn. Bhd.

Ainon Mohd. & Abdullah Hasan. 2002. Mendorong diri sendiri. Kuala Lumpur : PTS Publications & Distributors.

Azizi Yahaya, Jaafar Sidek Latif, Shahrin Hashim & Yusof Boon. 2005. Psikologi Sosial Alam Remaja. Kuala Lumpur : PTS Publications & Distributors.

Hairunnaja Najmuddin. 2004. Memahami dan Membimbing Remaja Nakal. Kuala Lumpur : PTS Publications & Distributors.

Hoy, W.K. dan Miskel. G.C.1978¬. Educational Administrations : Theory, Practice and Research, New York : Random House Inc.

Khadijah Hashim. 2001. Mencari Azizah. Shah Alam : ‘K’ Publishing Sdn. Bhd.

Lim Swee Tin. 2001. Dinamika Kreatif Penulisan Cerpen. Shah Alam : Cerdik Publications Sdn. Bhd.

Maslow, Abraham. 1953. A theory of Human Motivation. Vol 50. Psychilogical Review.

Muhammad Isa Selamat. 1998. Penawar jiwa. Kuala Lumpur : Darul Nukman

Nye, Robert D. 1992. Tiga Pemikiran Psikologi. Terjemahan Mahmood Nazar Ohamed. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Robiah K. Hamzah. 1995. Panduan Membimbing Remaja. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sears, D.O., Peplau, L.A & Freedman, J.L. 1988. Social Psichology. New Jersey: Prentice Hall, Inc.

Zainal Madon & Mohd. Sharani Ahmad. 2006. Panduan Mengurus Remaja Moden. Pahang Darul Makmur : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.



No comments: