Thursday, October 6, 2011

Fitnah dalam Penulisan Siber

BENTUK-BENTUK PENULISAN
ZZZT 2213


NAMA KUMPULAN: MALAR HIJAU

DISEDIAKAN OLEH:

NADHIRAH NA’IEMAH BINTI SA’DULLAH
NURUL FARAHANA BINTI MOHD AINI
ADRIANA SANTA ANAK TINGGOM
ELIA BIT
NURUL JAWAHIR BINTI MD ALI

DISEDIAKAN UNTUK:
CIK MAHARAM MAMAT




1.0 PENGENALAN

Pada masa kini, isu fitnah ini bukan sahaja berbentuk percakapan antara dua pihak namun juga dalam bentuk penulisan. Misalnya, dalam komunikasi massa terutamanya dalam blog juga turut wujudnya fitnah. Blog ‘Raja Petra’ misalnya, bukan sahaja memberi kesan kepada pembaca yang melayari blognya, namun juga turut memberi kesan yang negatif kepada negara kita. Mana tidaknya, apa yang ditulis oleh orang yang tidak bertanggungjawab ini boleh menghancurkan keharnonian dan perpaduan kaum yang telah lama terjalin pada suatu ketika dahulu.

Fitnah merupakan satu perbuatan yang terkutuk dan sangat dicela oleh mana-mana agama. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.
(Surah al-Hujurat, ayat 6)

Firman ini memberi gambaran bahawa setiap kata-kata yang disampaikan perlu diteliti dan diselidik terlebih dahulu agar kebenarannya dapat dipastikan dan khabar tersebut tidak mengandungi unsur fitnah. Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk yang akan menimpa seseorang individu atau ahli masyarakat.

Rasulullah S.A.W juga bersabda. Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis Rasulullah ini menunjukkan bahawa fitnah merupakan dosa yang besar dan berat sehingga tidak dapat memasuki syurga. Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan dengan keras perbuatan fitnah. Kesan fitnah adalah sangat buruk hingga boleh memudaratkan seseorang individu, keluarga, masyarakat mahupun negara.


1.1 TUJUAN KAJIAN

Kajian ini dilakukan bertujuan untuk melihat apakah yang dikatakan sebagai fitnah serta mengupas punca-punca wujudnya fitnah dalam penulisan di alam siber serta kesan-kesan yang timbul daripada gejala ini.

1.2 SKOP KAJIAN

Kajian ini mengkaji fitnah dalam penulisan di alam siber iaitu penulisan di laman-laman web sosial, penulisan blog, dan lain-lain tapak penulisan yang boleh didapati di alam siber. Fokus kajian adalah lebih kepada situasi semasa di Malaysia.


1.3 KAEDAH KAJIAN

Kajian ini dilakukan melalui kunjungan ke perpustakaan di mana pengkaji mengumpul dan mendapatkan maklumat serta data daripada bahan rujukan seperti buku, artikel dan jurnal. Selain itu, data turut dikumpul dari sumber internet dan kaedah kajian kes-kes undang-undang.


2.0 DEFINISI

Fitnah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud tuduhan jahat yang sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan seseorang. Definisi fitnah juga boleh didapati daripada kes Dato’ Musa Hitam v SH Allatas & 2 Ors, yang menyatakan bahawa fitnah adalah imputasi atau tuduhan yang berkecenderungan merendahkan reputasi plaintif dalam pandangan orang biasa dalam masyarakat atau berkecenderungan plaintif dijauhi, dibenci, dihina atau dipandang rendah.

Tambahan lagi, memandangkan fitnah tergolong sebagai salah satu jenis jenayah dan kian berleluasa pada masa kini, fitnah turut diperkatakan dalam Kanun Keseksaan berkenaan dengan “barang siapa, sama ada dengan perkataan yang dituturkan atau yang dimaksudkan untuk dibaca atau dengan isyarat, atau denganpenyataan zahir, membuat atau menyiarkan apa-apa tohmahan mengenai seseorang, dengan maksud hendak merosakkan, atau dengan mengetahui atau dengan ada sebab mempercayai bahawa tohmahan itu akan merosakkan nama baik orang itu, adalah dikatakan, kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, memfitnah orang itu.

Jika merujuk kepada konteks perbincangan ini, fitnah dalam penulisan siber boleh dikatakan sebagai, sebarang tuduhan jahat yang boleh menjatuhkan reputasi seseorang yang dibuat menerusi penulisan dan seterusnya dipaparkan atau disebarkan dalam sebarang laman sesawang. Situasi ini boleh dilihat dengan jelas dalam blog-blog hiburan, laman ‘facebook’ dan lain-lain lagi.


3.0 JENIS-JENIS FITNAH

Fitnah menurut konteks undang-undang pula terbahagi kepada dua iaitu libel dan slander. Libel adalah fitnah dalam bentuk kekal seperti fitnah dalam bentuk penulisan, lukisan, gambar-gambar, patung-patung, bahan-bahan bercetak dan sebarang contoh yang melibatkan deria penglihatan.

Fitnah dalam bentuk kekal ini boleh dilihat dalam kes Lau Chee Kuan (f) v Chow Soong Seong Kes ini adalah berkenaan satu rencana dalam akhbar Feng Pao yang dikatakan memfitnah perayu yang bertajuk “Bidan Menemui Hantu - Wang Bertukar Menjadi Wang Neraka”. Rencana itu menyatakan bahawa perayu, seorang bidan, telah dibawa ke sebuah rumah pada waktu malam untuk melakukan kerja-kerja perbidanan. Setelah selesai kerjanya, perayu telah dibayar wang sebanyak $200. Semasa perayu telah meninggalkan rumah tersebut, dia telah menoleh dan mendapati rumah tersebut lesapdan dirinya sedang berada di tanha perkuburan. Setelah kembali ke rumah, perayu tersebut mendapati bahawawang berjumlah $200 telah bertukar menjadi abu. Perayu tersebut dikatakan jatuh sakit selepas peristiwa tersebut. Akibat dari rencana tersebut, reputasi perayu telah tercemar. Dia juga sering dihina dan dipandang rendah. Mahkamah akhirnya meluluskan rayuan dan perayu mendapat awad sebanyak $500.

Selain itu, kes Lee Kuan Yew v JB Jeyaratnam turut memaparkan fitnah dalam bentuk libel iaitu fitnah dalam bentuk kekal. Dalam kes ini, defendan iaitu, JB Jeyaratnam, semasa kempen pilihan raya telah menyatakan tentang kedudukan kewangan plaintif antara lainnnya, seperti berikut, “ saya tidak pandai dalam pengurusan kekayaan peribadi saya tetapi Encik Lee Kuan Yew telah berjaya menguruskan kekayaannya dengan baik sekali. Dialah Perdana Menteri Singapura, isterinya seorang rakan kongsi firma Lee & Lee, dan adiknya pula merupakan pengarah dalam beberapa buah syarikat…jadi, Encik Lee Kuan Yew adalah sangat mahir dalam menguruskan kekayaan peribadinya. Saya sendiri tidaklah sebegitu…jika saya menjadi Perdana Menteri, tidak akan ada JB Jeyaratnam & Co kerana saya tidak mahir menguruskan kekayaan peribadi saya. Mahkamah dalam kes ini telah memutuskan bahawa dalam konteks kata-kata itu diucapkan, telah memberikan satu implikasi bahawa plaintif telah memperoleh sejumlah kekayaan dan faedah bagi diri dan keluarganya daripada kedudukan sebagai seorang Perdana Menteri. Fitnah telah dibuktikan.

Slander pula adalah fitnah dalam bentuk sementara dan lazimnya merujuk kepada fitnah dalam bentuk lisan seperti percakapan mahupun perbualan. Fitnah dalam bentuk slander dikatakan melibatkan deria pendengaran. Namun begitu, bukan semua yang didengar itu adalah slander memandangkan dalam Akta Fitnah 1957, siarana radio dianggap sebagai fitnah berbentuk kekal atau libel. Fitnah jenis slander ini perlu dibuktikan bahawa orang yang difitnah mengalami kerugian khas kecuali bagi kesalahan-kesalahan yang merangkumi lima bahagian lain iaitu, pertama, tohmahan berkenaan kesucian seseorang gadis, kedua, penghinaan berkenaan jawatan atau profesion seseorang, ketiga, penghinaan berkenaan hak milik atau harta, keempat, tuduhan ke atas seseorang mengenai kesalahan jenayah dan terakhir, tohmahan berkenaan penyakit berjangkit yang menimpa seseorang.

Kes Luk Kai Lam v Sim Ai Leng adalah salah satu kes yang memaparkan contoh fitnah dalam bentuk slander dalam bahagian tohmahan berkenaan kesucian seseorang gadis. Dalam kes ini, responden telah menyatakan bahawa perayu menerima RM50 sekali untuk ‘menghiburkan’ lelaki dan bahawa perayu adalah seorang pelacur. Mahkamah dalam kes ini telah memutuskan bahawa slander wujud tetapi, memandangkan fitnah tersebut adalah berkaitan kesucian gadis, plaintif tidak perlu membuktikan kerosakan khas untuk berjaya dalam tuntutannya.


4.0 FITNAH SECARA MAYA

Terdapat beberapa bentuk fitnah penulisan secara maya yang boleh diambil contoh. Antaranya adalah seperti penulisan blog, laman web, laman sosial iaitu Facebook. Setiap contoh ini akan dijelaskan dengan selanjutnya pada bahagian seterusnya.

4.0.1 Penulisan Blog

Salah satu isu berkenaan fitnah alam maya paling hangat pada tahun 2010 adalah berkenaan hasil tulisan seorang penulis blog yang menggelarkan dirinya Aduka Taruna.

Hasil tulisan yang cukup membuatkan banyak pihak berang itu adalah melibatkan kemangkatan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar yang telah mangkat pada 22 Januari 2010 pada usia baginda yang mencecah 77 tahun. Walaupun penulis blog tersebut telah menyerahkan diri, dia akan didakwa di bawah Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan akan didenda RM50, 000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, selain dikenakan denda tambahan sebanyak RM1,000 setiap hari dalam tempoh kesalahan. Aduka Taruna dengan melulunya, telah mencaci dan menghina Almarhum yang baharu sahaja mangkat. Walaupun dia telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf di blognya sendiri, kesilapan yang telah dilakukan tidak mampu ditutup dan diterima ramai sehinggakan kebanyakan pihak amat menyokong agar dia menerima hukuman yang setimpal. Hal ini menunjukkan dengan jelas peribahasa, “ Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya”.


4.0.2 Laman Web

Terdapat beberapa contoh fitnah yang terkandung dalam penulisan siber misalnya dalam laman web Malaysia Kini yang bertarikh 21 April 2010. Penulisan ini bertajuk ‘PERKASA janji ‘sambutan ribuan selipar’ untuk Blair’, yakni Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) membantah sekerasnya jemputan ke atas bekas Presiden England iaitu Tony Blair oleh Success Resources Company, bagi memberi ceramah pada kongres perniagaan di Putrajaya yang akan datang. Hal ini berikutan peranan Blair dalam menyokong pendudukan tentera di Iraq pada tahun 2003, yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Justeru, bagi mengambarkan kesungguhan PERKASA dalam membantah tindakan Success Resources tersebut, penulis artikel ini telah memasukkan petikan yang berbau fitnah ke atas Blair yang menyerang peribadinya

Berdasarkan petikan tersebut, penulis telah melabelkan Tony Blair sebagai penjenayah perang hanya berlandaskan bukti penglibatan beliau dalam menyokong pendudukan tentera Amerika di Iraq pada tahun 2003. Hal ini merupakan suatu spekulasi yang kurang bernas memandangkan penulis hanya membuat kesimpulan berdasarkan satu sudut perspektif sahaja. Tambahan pula, petikan tersebut boleh menjejaskan imej pemimpin yang dimaksudkan, sekali gus memacu ke arah pemikiran negatif dalam kalangan pembaca, misalnya menimbulkan spekulasi yang mengatakan bahawa orang barat kejam. Walhal, bukan semua orang barat bersifat demikian, malah, mereka terlebih dahulu terlibat dalam pertubuhan keaman sedunia dan pertubuhan hak asasi manusia berbanding masyarakat kita.

Walau bagaimanapun, sememangnya tidak dinafikan bahawa Blair terlibat dalam pendudukan tentera Amerika di Iraq, namun tindakan tersebut terpaksa dilakukan atas dasar politik demi menjaga keamanan negara yang dipimpinnya. Tambahan pula, motif Syarikat Success Resources menjemput Tony Blair ke Putrajaya adalah untuk memberikan ceramah sempena kongres perniagaan yang boleh membantu perkembangan ekonomi negara dan tiada kaitan dengan isu politik. Oleh yang demikian, petikan tersebut merupakan salah satu contoh penulisan fitnah dalam siber, memandangkan ia ditulis berdasarkan emosi semata-mata, yang boleh menjejaskan imej individu sasaran, serta menimbulkan spekulasi negatif dalam kalangan pembaca.


5.0 PUNCA-PUNCA FITNAH DALAM PENULISAN

Sebelum mengupas mengenai punca-punca fitnah dalam penulisan secara langsung, adalah penting bagi kita untuk memahami beberapa unsur utama yang menjadi asas kepada pengertian persoalan ini. Pertama sekali, kita harus menyedari bahawa penulisan bermula daripada bahasa lisan yang didokumentasikan dalam bentuk simbol yang kelihatan. Oleh yang demikian, dalam merungkai jawapan bagi persolan ini, kita perlu melihat perkaitan antara bahasa dan komunikasi sosial, entiti-entiti yang terlibat dalam dunia penulisan.

Menurut Gelven, 1982, bahasa memiliki sifat ‘menunjuk’ (showing) lebih daripada ‘memberitahu’ (telling). Hal ini membuktikan bahawa bahasa sebenarnya mempunyai nilai peribadi atau dalam pendekatan yang lebih mudah, bahasa merupakan medium kepada cerminan keperibadian seseorang individu. Pernyataan ini telah disokong oleh David Birch, 1989 dalam bukunya Language, Literature and Critical Practice, yang mengatakan bahawa bahasa bukan sekadar alat untuk menyalurkan informasi semata-mata tetapi merupakan perbuatan dan cerminan perasaan serta pendapat peribadi. Oleh yang demikian, keperibadian seseorang individu yang menyangkut hal-hal emosi, luahan perasaan, dan pendapat akan dinyatakan sewaktu berbahasa. Hal ini pula akan dibawa dalam penulisan terutamanya di ruang penulisan yang berbentuk peribadi seperti diari, blog atau jurnal.

Menurut Chambers, J. K. et al. (2002), bentuk komunikasi yang dibangun oleh struktur bahasa juga mempunyai nilai sosiolinguistik yang turut dipengaruhi oleh unsur budaya, gender, konteks sosial, dan kelas sosial. Maka, tidak hairanlah jika pernyataan-pernyataan yang berbau fitnah atau gosip seringkali terpapar dalam penulisan siber masa kini, terutamanya dalam hiburan, kerana para penulis tersebut menjadikan ruang penulisan sebagai satu dimensi untuk meluahkan pandangan serta pendapat peribadi mereka, yang semestinya dipengaruhi oleh unsur-unsur sosiolinguistik seperti yang dinyatakan tadi.

Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada persoalan ini adalah dunia siber itu sendiri yang merupakan medium perkhidmatan komunikasi yang bersifat global dan tidak memiliki sebarang pemilik yang statik. Menurut Sherlly Vermaat dalam bukunya Discovering Computer 2009, internet yang turut disebut net, merupakan satu jaringan global yang menggumpulkan jutaan tautan bisnes, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan peribadi seluruh dunia.

Hal ini menunjukkan dengan jelas bahawa, internet sememangnya tidak mempunyai sebarang pemilik atau agensi yang bersifat mutlak keatas perkhidmatannya. Oleh yang demikian, setiap individu yang memuat naikkan laman sesawang, blog atau jurnal mereka dengan menggunakan jaringan internet, adalah bebas dan kurang terikat dengan garisan-garisan peraturan serta protokol yang jelas. Situasi ini seolah-olah membuka jalan kepada para penulis siber untuk lebih bergiat aktif dalam meluahkan perasaan serta pendapat mereka tanpa menghiraukan sama ada penulisan tersebut berbaur fitnah atau tidak, kerana internet merupakan satu medium komunikasi global yang melangkaui sempadan dan masa serta bersifat awam.

Di samping itu, dari segi undang-undang siber yang terdapat di negara, adalah ketara bahawa negara Malaysia masih tidak mempunyai sebarang garis panduan yang jelas mengenai fitnah dalam penulisan siber khususnya dalam blog. Hal ini amat membimbangkan kerana jika diperhatikan dengan teliti, blog sememangnya merupakan salah satu saluran komunikasi yang paling ramai penggunanya. Statistik yang ditunjukkan oleh Technorati dengan jelas mendedahkan bahawa terdapat lebih 112 juta blog di dunia dengan angka kira-kira 175,000 blog terhasil setiap hari. Namun, perkara yang lebih membimbangkan lagi ialah, blog turut merupakan saluran komunikasi yang paling banyak berbaur firnah. Hal ini kerana, blog merupakan saluran komunikasi yang bersifat peribadi dan perseorangan.

Ani Nadila Yusof dalam bukunya A-Z Blog!: Tip untuk Blogger Wanita, 2008, mengatakan bahawa blog moden berevolusi daripada Diari Talian atau Diari Elektronik yang boleh disemak, dikomen, dibaca dan boleh disimpan dalam jangka waktu yang lama. Justeru, dalam penulisan blog, pihak kerajaan agak terkekang untuk mengenakan tindakan keatas para penulis yang menabur unsur fitnah dalam penulisan siber khususnya dalam blog, kerana ia sememangnya merupakan ruang peribadi yang bersifat Diari Elektronik.

Oleh yang demikian, adalah benar seperti kata pepatah bahawa ‘mulut tempayan tidak dapat ditutup’, namun, tanggungjawab dan etikalah yang menjadi sandaran dalam memastikan sesebuah penulisan tersebut bermoral, rasional serta matang dan bukannya bersandar pada emosi penulis semata-mata.


6.0 KESAN-KESAN FITNAH DALAM PENULISAN

Fitnah bukan sahaja merupakan perbuatan yang terkutuk dan dilaknat oleh Allah S.W.T bahkan juga membawa kesan buruk kepada individu mahupun masyarakat.

Antara kesan fitnah ialah menimbulkan keburukan dan mengaibkan seseorang. Nama baik dan air muka seseorang individu boleh tercemar atau tercalar apabila wujud fitnah yang dilemparkan terhadapnya yang mana boleh mengaibkan dirinya.

Hal ini lantas boleh menyebabkan wujud rasa kebencian dan permusuhan terhadap mangsa fitnah tersebut. Dengan ini, individu itu bukan sahaja akan berdepan dengan cercaan dan pandangan serong terhadapnya malah reputasi dan kredibilitinya juga akan dipertikai. Antara impaknya ialah tercetusnya masalah rumah tangga sehingga mengakibatkan perceraian akibat cerita buruk melalui fitnah yang disebar. Selain itu, fitnah juga boleh menjejaskan periuk nasi mangsa dan pekerjaan atau sumber rezeki individu berkenaan.

Fitnah secara tidak langsung juga boleh menyebabkan sesorang mangsa mengalami tekanan emosi dan masalah psikologi apabila timbul stigma, pandangan negatif dan prejudis terhadapnya.

Tanpa iman dan semangat yang kuat dan kental, seseorang itu akan dicengkam dengan rasa sedih dan murung yang melampau hingga melarikan atau menyepikan diri dari masyarakat. Dalam keadaan yang lebih teruk, mangsa mungkin mengalami agorafobia, iaitu sejenis masalah apabila penghidapnya mengalami rasa takut untuk berada di tempat awam atau tempat terbuka.
Bukan itu sahaja, fitnah ialah satu perkara yang boleh merosakkan persaudaraan dan perpaduan. Kesan daripada perbuatan itu bukan hanya merugikan seorang dua, malah menyebabkan permusuhan, pertelagahan serta hilangnya perasaan kasih sayang, hormat dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat. Apabila ukhuwah serta semangat persaudaraan luntur maka lenyap dan runtuhlah kebahagiaan dan kemanisan hidup bermasyarakat.

Selain itu, fitnah mampu menngancam keselamatan negara apabila nama negara terjejas. Anasir fitnah yang berleluasa mampu menyebabkan keseimbangan negara dan keselamatan negara tergugat lantas mencetuskan pergolakan.
Apabila salah faham akibat fitnah timbul seperti timbulnya provokasi sentimen perkauman dan keagamaan, suasana yang genting boleh mencetuskan peperangan dan pertumpahan darah.

Di samping kesan buruk fitnah terhadap institusi sosial, fitnah juga boleh menjatuhkan ekonomi negara. Kesannya ialah mewujudkan sentimen anti sesebuah negara serta membentuk persepsi palsu dan negatif. Hal ini mampu memberikan impak kepada sektor ekonomi sesuatu negara.

Keburukan dan persepsi negatif ini boleh menakutkan pelabur dan peniaga asing untuk melabur di sesebuah ngara itu akibat. Selain itu, fitnah juga akan menempias industri pelancongan sesuatu negara. Bukan itu sahaja, hal ini malah boleh membawa kepada pemboikotan produk atau barangan dari sesebuah negara itu. Akibatnya, ekonomi negara akan menjadi lumpuh.
Fitnah merupakan perbuatan yang dipandang hina oleh mana-mana agama kerana impak buruknya. Justeru, langkah untuk menangani atau membendung masalah ini perlu dipandang serius dan dilaksanakan.


7.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH FITNAH

Isu fitnah kian menular dalam kalangan masyarakat dan perlu diatasi segera memandangkan impaknya terhadap individu, masyarakat dan negara amat besar sehingga mampu meruntuhkan sesebuah institusi sama ada institusi kekeluargaan mahupun institusi kerajaan. Oleh yang demikian, langkah-langkah bijak harus diambil walaupun untuk menghapuskan masalah fitnah itu amat sukar, sekurang-kurangnya, masalah tersebut dapat dikurangkan.

Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah fitnah adalah mewujudkan sebuah badan khas yang menyelenggara atau menapis segala paparan di laman sesawang. Hal ini kerana laman sesawang telah menjadi medium utama pada masa kini untuk menyebarkan fitnah kerana sifatnya yang terbuka dan bebas berbanding media cetak. Apatah lagi konsep kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang diamalkan tanpa sekatan dalam internet itu sendiri membolehkan sesiapa sahaja menghantar atau menyiarkan sebarang maklumat sama ada benar atau tidak. Seandainya sebuah badan penapis atau pemantau diwujudkan, cerita-cerita yang tidak sepatutnya dapat dihalang untuk disiarkan, seterusnya mampu mengurangkan masalah fitnah.

Langkah kedua yang boleh diambil untuk mengatasi isu fitnah adalah dengan menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan. Undang-undang tersebut bukan sekadar menyediakan hukuman berat kepada pesalah fitnah yang telah dibuktikan malahan mampu menakutkan semua, agar tidak sewenang-wenangnya berkata, menulis atau menyiarkan sesuatu yang tidak benar, memandangkan kesan daripadanya amat besar bak kata pepatah, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’.

Memberi pendedahan yang meluas kepada masyarakat akan etika penulisan yang sebenar juga adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah fitnah. Jika dilihat, masyarakat kini lebih cenderung untuk sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran tanpa memikirkan implikasi yang timbul akibat penulisan tersebut. Hal ini terjadi kerana mereka tidak tahu dan tidak peka terhadap etika penulisan atau undang-undang berkenaan penulisan itu sendiri. Dalam hal ini, media massa dan elektronik akan memainkan peranan yang cukup besar dalam menyebarkan prosedur sebenar penulisan yang tidak melanggar syarat-syarat menulis bukan sahaja berkaitan isu sensitif seperti berkenaan agama dan politik malahan penggunaan bahasa yang sesuai dalam penulisan.

Seterusnya, isu fitnah dapat diatasi dengan mewajibkan atau melakukan penegasan agar semua data-data, fail atau laman-laman sesawang didaftarkan sebelum boleh dilayari. Hal ini bagi memudahkan sebarang maklumat tidak sah atau tidak benar dikesan seterusnya membolehkan seseorang lebih berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu tulisan mereka kerana dikhuatiri, jika penulisan tersebut mengandungi unsur fitnah, mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya bak bidalan lama, ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam, dengar-dengar.’



8.0 PENUTUP

Menerusi fakta-fakta dan keterangan yang telah dijelaskan tadi, dapat disimpulkan bahawa fitnah dalam penulisan sememangnya dikutuk oleh mana-mana agama di negara kita. Fitnah dalam penulisan membawa erti tuduhan jahat yang sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan seseorang. Selain itu juga, fitnah penulisan secara maya misalnya penulisan blog, website serta laman web sosial seperti Facebook sememangnya terjadi di negara ini. Malah, apa yang mengecewakan lagi, perbuatan ini kerapkali dilakukan pada masa kini.

Fitnah menurut konteks undang-undang pula terbahagi kepada dua iaitu libel dan slander. Libel adalah fitnah dalam bentuk kekal seperti fitnah dalam bentuk penulisan, lukisan, gambar-gambar, patung-patung, bahan-bahan bercetak dan sebarang contoh yang melibatkan deria penglihatan. Manakala Slander pula adalah fitnah dalam bentuk sementara dan lazimnya merujuk kepada fitnah dalam bentuk lisan seperti percakapan mahupun perbualan.

Antara punca-punca yang telah dikenalpasti adalah internet sememangnya tidak mempunyai sebarang pemilik atau agensi yang bersifat mutlak keatas perkhidmatannya dan tidak mempunyai sebarang garis panduan yang jelas mengenai undang-undang penulisan siber.

Selain itu, antara kesan-kesan yang dadapati adalah seperti menimbulkan keburukan dan mengaibkan seseorang, merosakkan persaudaraan dan perpaduan, mampu menngancam keselamatan negara, kesan buruk fitnah terhadap institusi sosial, fitnah juga boleh menjatuhkan ekonomi negara dan menakutkan pelabur dan peniaga asing untuk melabur di sesebuah negara itu.

Di samping itu, langkah-langkah untuk membendung gejala ini berlaku juga turut diketengahan. Antaranya adalah seperti mewujudkan sebuah badan khas yang menyelenggara atau menapis segala paparan di laman sesawang, menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan, Memberi pendedahan yang meluas kepada masyarakat akan etika penulisan yang sebenar dan mewajibkan atau melakukan penegasan agar semua data-data, fail atau laman-laman sesawang didaftarkan sebelum boleh dilayari.


RUJUKAN

Ani Nadila Yusof. 2008. A-z blog!: tip untuk blogger wanita. Shah Alam: Buku Prima Sdn. Bhd.
Chambers, J. K., Trudgill, P. & Estes, N. S. 2002. The handbook of language variation and change. Massachusetts: Blackwell Publishing Ltd.
David Birch. 1989. Language, Literature, and Critical Practice. Britain: British Library Cataloguing Publication.
Gelven, M. 1982. Man and world. Vol. 15. Berkeley: University of California Press.
Mohammad Hashim Kamali. 1994. Freedom of expression in Islam. Ilmiah Publishers Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Sherlly, G. B. & Vermaat, M. E. 2008. Discovering computer 2009. Boston: Cengage Learning Inc.

No comments: